0

Pemuda Enggan Minta Maaf Isu Karpal

Pemuda Umno tidak akan meminta maaf ekoran tindakan sekumpulan anggota pergerakan itu yang didakwa mengepung pengerusi DAP, Karpal Singh di Parlimen semalam.


Ketuanya, Datuk Hishammuddin Hussein berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang menuntut pergerakan itu memohon maaf.

"Tidak timbul isu minta maaf. Provokasi ini bukan kali pertama, dengan menuduhkan kita celaka, tuduh kita terlibat (menghantar) peluru (kepada Karpal) dan isu-isu membabit Raja-raja Melayu dan kedaulatannya.

"Kalau diheret ke mahkamah pun saya sanggup lakukan untuk memperjelaskan apa yang berlaku," katanya selepas menghadiri persidangan antarabangsa pemuda mengenai keganasan di ibunegara hari ini.

Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah menyampaikan titah diraja sempena persidangan tersebut petang ini.

Ditanya mengenai kejadian semalam, Hishammuddin yang juga menteri pelajaran berkata: "Saya tidak arah dan tidak tahu (kejadian semalam)... jadi tidak timbul isu minta maaf."

Sebaliknya ditanya sama ada pihaknya akan menuntut Karpal minta maaf kerana memanggil Pemuda Umno 'celaka', Hisham berkata: "Kalau minta pun, kita tahu dia tidak akan lakukan."

Ditanya sama ada kekecohan di Parlimen semalam akan menjejaskan imej Umno berkata, ia hanya membabitkan segelintir sahaja anggota Pemuda Umno.

"...tak sampai 15 hingga 20 orang, takkanlah tindakan segelintir itu akan menjejaskan imej kesemua Pemuda Umno dan Pemuda BN."

Hishammuddin juga mendakwa tindakan Karpal memanggil 'celaka' kepada Pemuda Umno sebagai satu provokasi.

1

Pas Mahu Eliza Dikenakan Tindakan




SHAH ALAM 18 Feb. - Pas meminta supaya pucuk pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berhubung penyebaran gambar bogelnya menerusi Internet.

Menurut kenyataan Sekretariat Media, Badan Perhubungan Pas Selangor di sini semalam, tindakan ke atas ADUN berkenaan perlu dilakukan bagi menjaga integriti dan nama baik pakatan pembangkang dan kerajaan negeri itu.

Kenyataan itu menegaskan, Pas menganggap seorang pemimpin perlu memiliki akhlak serta keperibadian yang baik supaya ia dapat dicontohi dan menjadi ikutan oleh rakyat.

Kenyataan itu turut menyeru semua ADUN dan ahli Parlimen negeri itu agar dapat menjaga akhlak dan tingkah laku mereka daripada krisis moral yang menjejaskan kestabilan kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas.

Menurut kenyataan itu, Pas turut mengutuk tindakan penyebaran gambar berkenaan selain menyifatkan ia satu perbuatan jenayah dan perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Selain itu, parti tersebut turut meminta pihak polis menjalankan siasatan rapi dengan penuh amanah dan tanggungjawab berhubung kes berkenaan.

Pas juga mahu supaya pihak polis membawa sesiapa sahaja yang didapati bersalah menyebarkan gambar berkenaan ke muka pengadilan secepat mungkin, tambah kenyataan itu. <- Artikel dari www.utusan.com.my

0

Satu Lagi Pilihanraya Kecil?


Elizabeth Wong tawar letak jawatan sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan.

Menteri Besar Selangor akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan isu tawaran peletakan jawatan Elizabeth.

Polis Selangor mengambil keterangan Elizabeth serta empat wartawan, dua dari Malay Mail dan dua dari The Sun bagi membantu siasatan kes gambar bogel Elizabeth.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan satu lagi pilihan raya kecil (DUN Bukit Lanjan) diadakan serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Selambau pada 7 April ini

0

PAS Pak Turut?

SEBELUM 1998, Pas dilihat sebagai parti alternatif untuk orang Melayu yang tidak mahu menyokong UMNO. Berikutan itu, perjalanan Pas dalam arena politik sentiasa mendapat sokongan sehingga ia menawan kembali Kelantan pada 1990. Pada masa yang sama, ia menambah jumlah wakil rakyat di negeri-negeri lain.

Ketika itu Pas dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai prinsip. Ia selari dengan kata-kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan terbarunya: "Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti yang sah berdaftar dan senantiasa mendukung prinsip rukun negara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang".

Berdasarkan prinsip itulah Pas tidak pernah sama sekali menggalakkan penyokongnya menjadi ganas dalam menyelesaikan isu politik. Kepimpinan parti itu sentiasa memperingatkan mereka supaya menghormati undang-undang.

Malah dalam sesetengah situasi, Pas akan bersama-sama UMNO mempertahankan kedudukan raja-raja. Tetapi selepas 1998, apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilahirkan melalui perasaan kebencian mendalam, Pas seolah-olah terseret sama mengikut jejak PKR.

Sudah ada ahli-ahli Pas yang berani turun ke jalanan melakukan demonstrasi, mencerca dan memaki hamun UMNO seperti yang dilakukan oleh PKR. Apa yang berlaku di Kuala Kangsar, Jumaat lalu jelas membuktikan bahawa semakin ramai penyokong Pas dicemari 'virus' PKR.

Mereka terpekik terlolong di jalanan, bertempur dengan pihak polis dan merosakkan harta awam. Semua ini adalah perlakuan penyokong PKR yang kini menyerap kepada penyokong Pas.

Lebih malang lagi, Pas kini terjebak dengan pakatan pembangkang yang disertai oleh PKR dan DAP untuk menyeret Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke mahkamah.

Segalanya hanya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Sultan Azlan Shah memperkenankan permintaan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan di Perak. Demi untuk melihat pembangkang terus berkuasa, Pas sanggup menjejaskan segala prinsipnya untuk mempertahankan raja-raja Melayu.

Tanpa mahu mempertimbangkan bagaimana arifnya Sultan Azlan Shah membuat keputusan sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Pas merelakan diri mereka dipergunakan oleh PKR dan DAP untuk mengambil tindakan yang dianggap boleh menjatuhkan martabat raja-raja Melayu.

Tidak kisahlah apa pun istilah pembangkang bagi menghalalkan tindakan mereka itu tetapi yang pasti, ia berkaitan dengan apa yang dilakukan oleh Sultan Azlan Shah.

Dalam keghairahan untuk menunjukkan kesetiaan kepada pakatan pembangkang biarpun mempunyai perbezaan ideologi yang cukup ketara, Pas seolah-olah terlupa bahawa Perak bukan negeri yang dimenanginya secara majoriti. Padahal Pas hanya menumpang kejayaan DAP iaitu parti yang menentang pelaksanaan hukum Islam - prinsip yang diperjuangkan oleh Pas sendiri.

Di Perak, Pas hanya memperolehi enam kerusi sedangkan DAP 18 kerusi. Walaupun Pas diberi penghormatan menjadi Menteri Besar tetapi semua orang tahu kenapa ia terpaksa dilakukan.

Atas sebab itulah, selama ini Pas tidak pernah berbangga dengan kedudukan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak. Mereka lebih menghargai Datuk Azizan Abdul Razak di Kedah dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan.

Berdasarkan kedudukan itu, Pas seharusnya tidak begitu ghairah untuk menentang keputusan Sultan Azlan Shah sehingga sanggup bersekongkol dengan PKR dan DAP. Pas perlu memaparkan jati diri sebenar dan bukannya mengorbankan prinsip demi menjaga hati PKR dan DAP.

Pas harus memahami apa yang berlaku di Perak bukan sekadar berkisar soal kuasa politik sahaja. Lebih daripada itu, ia perlu memastikan segala titah perintah sultan dipatuhi dan bukannya diingkari.

Pas harus memahami, mereka adalah parti kedua terbesar orang Melayu selepas UMNO. Orang Melayu tidak boleh bergantung kepada DAP atau PKR dalam mempertahankan institusi dan kepentingan mereka selain kepada UMNO dan Pas. Tetapi kalau Pas sendiri 'mohon derhaka' dengan dilihat mengkhianati institusi Melayu, siapa lagi yang orang Melayu boleh harapkan?

Dalam menghadapi konflik di Perak ini, kepimpinan Pas perlu jelas dan tegas menyatakan pendiriannya. Jangan bersikap lidah bercabang. Jika Pas beranggapan apa yang dilakukan oleh pembangkang untuk membawa isu Perak ke mahkamah boleh menjejaskan institusi raja-raja maka mereka perlu menentangnya.

Pas perlu sedar tindakan mereka sekarang bukan untuk menegakkan keadilan atau untuk mengembalikan suara rakyat. Kalau itulah matlamatnya kenapa sejak awal lagi Pas terus bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merealisasikan impian 16 September?

Malah dalam soal lompat parti juga, di kalangan pemimpin Pas sendiri menampakkan percanggahan dan seolah-olah berada dalam alam keliru. Lihat sahaja kenyataan Nik Abdul Aziz. Mursyidul Am Pas itu pada awal Mei tahun lalu menyokong undang-undang lompat parti digubal. Beliau menyifatkan wakil rakyat yang lompat parti sebagai 'bukan manusia'.

Namun pada 14 Mei, beliau mengubah pendirian dan menyokong pembangkang untuk menarik ahli Parlimen BN menyertai pakatan itu bagi membentuk kerajaan Pusat yang baru.

Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat akan hanya menerima ahli Parlimen BN terutama daripada UMNO sekiranya mereka menyertai Pas.

"Ia terletak di atas orang politik, negara kita demokrasi cumanya bagi orang Melayu yang dulunya UMNO, kalau dia nak masuk Pas, bukan maknanya nak masuk Pas tapi balik asal, kerana orang Melayu ini orang Islam, Islam menetapkan dasar-dasar hidup."

Kenyataan Nik Abdul Aziz itu bermakna beliau menyokong wakil rakyat melompat parti asalkan masuk Pas malah turut berkata:

"Saya tidak boleh ganggu orang lain kerana ini negeri demokrasi, demokrasi yang sampai ke peringkat hilang kawalan agama, inilah masalah kekalahan UMNO.

"Wakil BN masalahnya seperti yang saya katakan tadi, kita tidak boleh nak halang, sampailah pada peringkat nak buat undang-undang, kita lompat pun tidak boleh. Kami pernah bawa naik ke mahkamah masa di Kelantan dulu, kes wakil Semangat 46 masuk UMNO balik tetapi tiada apa-apa kerana memang hak untuk melompat parti terbuka di negara demokrasi."

Jika itulah hujah Nik Abdul Aziz, kenapa sekarang beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Perak yang ditubuhkan oleh BN adalah sebuah "kerajaan yang haram"?

Adakah kerana wakil rakyat PKR dan DAP menyokong BN maka ia menjadi haram? Tetapi kalau wakil rakyat BN masuk pembangkang sehingga menumbangkan kerajaan BN ia dianggap "kerajaan yang diberkati"?

Oleh itu, dalam isu krisis politik di Perak, Pas yang sudah berusia 57 tahun harus memaparkan pendirian yang jelas. Janganlah terus menjadi keliru hanya untuk menjaga kepentingan politik bersama PKR dan DAP. Mungkin Pas berbangga kerana sikap itu tetapi jangan sampai mereka dianggap sebagai "pak turut" sahaja seperti mana yang ditafsirkan berlaku di Perak itu.

0

Malam Himpunan Pemuda

Alhamdulillah... Malam Himpunan Pemuda Perkasa Cawangan Suragate berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Berkat kesungguhan Jawatankuasa Pemuda Suragate ianya mendapat sambutan luar jangkaan. Seramai 37 kehadiran golongan pemuda Suragate hadir. Terima kasih saya ucapkan - Ketua Pemuda

0

MALAM HIMPUNAN PEMUDA PERKASA CAWANGAN SURAGATE

Malam Himpunan Pemuda Perkasa Cawangan Suragate

Tarikh : 09.02.2009 (Isnin)
Masa : 8.00 malam
Tempat : Balairaya Kg Alur Tembesu

Atucara majlis :
i. Gotong-royong menyediakan BBQ
ii. Mesyuarat Jawatankuasa Pemuda
iii. Pengisian borang keahlian UMNO beramai-ramai
iv. Makan & Bersurai

0

Kronologi Politik Di Perak Selepas PRU12 (Siri 3)

6 Febuari (Situasi Terkini di Perak dari masa ke semasa)

Kemaskini 4.39pm Polis Perak mengesahkan kira-kira sejam lalu bahawa sembilan penunjuk perasaan berjaya ditahan.

Lebih kurang 3,000 penyokong Pakatan Rakyat bersurai beransur-ansur selepas diarahkan oleh seorang pemimpin PAS Perak setengah jam lalu.

Kemaskini 4.22pm Mesyuarat beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya berlangsung selepas jam 4 petang tadi.

Naib pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaffar kelihatan bersama beberapa lagi pemimpin gabungan tiga parti itu.

Mereka dijadual mengadakan sidang media jam 4.30 petang ini, mengulas perkembangan terkini di Perak yang menyaksikan kewujudan dua menteri besar - Datuk Dr Zambry Abd Kadir bagi pihak BN dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bagi pihak Pakatan Rakyat.

Kemaskini 4.17pm Difahamkan exco kerajaan Kedah, V Arumugam yang dilaporkan "gagal dihubungi" masih bersama PKR.

Kebimbangan tentang "kehilangannya" cepat merebak susulan wujud dakwaan terdapat usaha seumpama Perak sedang dilakukan terhadap kerajaan Pakatan di Kedah.

Kemaskini 4.12pm Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak selesai selepas bacaan doa mufti Datuk Seri Harussani Zakaria.

Patik mohon derhaka – Nizar

Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak dengan alasan masih menyandangnya secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

“Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda ’patik sebagai MB dan pemimpin kerajaan, mohon tidak letak jawatan’.

Akan meneruskan tugasnya seperti biasa dan akan masuk pejabatnya hari ini.

Kerajaan negeri bersama pemimpin kerajaan campuran pembangkang akan memohon untuk menghadap Sultan Azlan Shah untuk merayu agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan. - http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm


Sumber di bawah dari : www.malaysiakini.com

Kemaskini 4pm Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru Perak.

Kemaskini 3.55pm Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir sedang berlangsung dan disiarkan secara langsung melalui TV1.

Kemaskini 3.48pm Tiada penunjuk perasaan di depan Istana Iskandariah, tempat majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, tetapi masih ada lebih kurang 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di Masjid Ubudiah.

Dilaporkan 10 orang berjaya ditangkap polis. Tiada kenyataan rasmi polis dikeluarkan, setakat ini.

Kemaskini3.36pm Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir akan berlangsung tidak lama lagi.
Semua 28 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah memutuskan untuk memulaukan majlis tersebut di balai istiadat Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Kemaskini 3.33pm Seorang wakil pemimpin PAS, Khalilul Rahman Abdul Samad mengarahkan para penunjuk perasaan bersurai, dan menyeru polis agar bertenang dan berundur. Beliau juga seorang pegawai Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, menteri besar Pakatan Rakyat yang masih mempertahankan jawatannya dan enggan mengiktiraf penggantinya.

Kemaskini 3.25pm Keadaan mulai kembali tenang di Masjid Ubudiah di bandar diraja Perak. Kelihatan beberapa orang menangis, sambil mengeluh "kenapa masjid diperlakukan sebegitu." Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya jam 4.30 petang ini.

Kemaskini 3.20pm Polis berjaya memecahkan halangan para penyokong Pakatan Rakyat.Sebuah kenderaan yang bernombor pendaftaran kuning (diraja) dibaling batu oleh penunjuk perasaan.

Kemaskini 3.18pm Sebahagian penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di kawasan masjid. Polis melepaskan lebih banyak gas pemedih mata, termasuk ke arah kawasan masjid dan beberapa kediaman berhampiran tempat ibadat itu.

Kenderaan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatan masuk ke istana.

Kemaskini 3.11pm Kelihatan sejumlah orang berbaring di atas jalan menuju istana untuk menghalang sesiapa ke arah istana. Sekejap tadi polis berjaya menyuraikan kumpulan 300 orang tadi.

Kemaskini 3.08pm Kira-kira 300 orang menghalang jalan menuju istana. Polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi kali ketiga ke arah mereka. Sementara itu, polis menangkap para penyokong menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Tiada angka rasmi jumlah tangkapan diketahui, setakat ini.

Kemaskini 3.01pm Polis pencegah rusuhan mengejar orang ramai di jalan depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Mereka berlari tidak tentu arah dalam keadaan asap tebal gas pemedih mata.

Beberapa orang penyokong kelihatan membaling objek seperti kayu ke arah polis.

Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.

Kemaskini 2.58pm Perkumpulan orang ramai mula berundur ke dalam kawasan perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar sekali lagi selepas polis melepaskan gas pemedih mata bagi kali kedua. Jumlah mereka dianggarkan 3,000 orang. Lebih banyak gas pemedih mata dilepaskan, termasuk ke arah tempat letak kereta masjid.

Mereka masih mendesak ingin bergerak ke Istana Iskandariah, tempat berlangsung majlis angkat sumpah menteri besar baru Datuk Dr Zambry Abd Kadir jam 3.30 petang ini.

Kemaskini 2.50pm Polis mengarahkan orang ramai bersurai. Penyokong Pakatan Rakyat kini berada di tepi jalan. Gas pemedih mata dilepaskan sekali lagi.

Lima trak polis kelihatan, tiada kenderaan pemancut air kelihatan. Tiada tangkapan dilaporkan, setakat ini.

Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.

Kemaskini 2.40pm Perkumpulan orang ramai yang bertempiaran bergabung semula di atas jalan depan Masjid Ubudiah selepas polis melepaskan gas pemedih mata.

Polis pencegah rusuhan dari arah Istana Iskandariah sedang menuju ke arah ratusan penyokong Pakatan Rakyat itu. Kedengaran siren polis.

Kemaskini 2.26pm Mereka merempuh sekatan polis di luar pintu masuk Masjid Ubudiah untuk berarak ke Istana Iskandariah.

Kira-kira 50 anggota polis termasuk unit pencegah rusuhan FRU terpaksa mengelak dan berdiri di tepi jalan.

Polis melepaskan gas pemedih mata, kedengaran sekurang-kurangnya tiga das ke arah kumpulan orang ramai.

Sebahagian kumpulan itu berundur semula ke dalam kawasan pagar masjid, sementara sebahagian lagi lari bertempiaran di tepi jalan menuju istana.

Kemaskini 2.21pm Beberapa ratus orang, termasuk wanita, penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di Masjid Ubudiah selepas solat Jumaat sebentar tadi.

Mereka dijangkakan berarak ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang terletak beberapa ratus meter dari masjid.

Kemaskini 2.15pm Gelaran "Datuk Seri" yang dianugerahkan kepada bekas menteri besar Pakatan Rakyat di Perak wajar ditarik balik sebagai pengajaran kepada mereka yang menderhaka.

Ketua bahagian Umno Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee juga berkata beliau tidak menolak kemungkinan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi dalang krisis tersebut dan bersikap
"lempar batu sembunyi tangan", lapor Bernama.

Kemaskini 1pm Datuk Seri Najib Razak dilaporkan membayangkan perkembangan di Perak ini akan berulang di negeri-negeri lain yang diperintah Pakatan Rakyat.

Timbalan perdana menteri berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada perkembangan semasa politik.

Kemaskini12.40pm Speaker DUN Perak, V Sivakumar akan mengutuskan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memohon perkenan baginda mengadakan sidang khas dewan.

Sidang tergempar - seboleh-bolehnya hari ini atau esok - bagi menentukan sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang menguasai majoriti di dewan tersebut.

Sivakumar berkata beliau juga memohon baginda menunda majlis angkat sumpah menteri besar baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir 3.30 petang ini.

Surat itu akan dikirimkan kepada baginda secepat mungkin.

Kemaskini 12.10pm Satu perhimpunan besar menyokong Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan membantah pelantikan menteri besar baru kerajaan BN akan diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat.

Kemaskini 12.01pm Menteri Besar Pakatan Perak akan bertolak ke Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar untuk menunaikan solat Jumaat tengah hari ini.

Kemaskini 11.50pm Tiada kepungan polis di kediaman rasmi menteri besar. Polis hanya berkawal di jalan-jalan raya menuju dan berdekatan kediaman Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Kemaskini 10.45pm Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Ahmad berkata polis telah mengawal pejabat SUK atas permintaan setiausaha kerajaan negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

Kemaskini 10.20am Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan barisan anggota exconya berkereta keluar dari pejabat SUK. Menteri besar pulang ke kediaman rasminya.

Kemaskini 10.15am Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan anggota exco mengadakan sidang akhbar sebelum ia diganggu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan ketua polis daerah Ipoh, Azisman Alias.

Abdul Rahman dengan kasar mengarahkan wartawan meninggalkan bilik tersebut.

Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ngeh Koo Han kedengaran memberitahu ketua polis daerah itu supaya mematuhi prosedur.

Kemaskini 9:40am Menteri besar Pakatan Rakyat itu, yang berpakaian Melayu berwarna hijau dan barisan exconya tiba di bangunan setiausaha kerajaan negeri.

Pada mulanya pintu ditutup, selepas menemui pengawal, mereka dibenarkan masuk. Mohamad Nizar terus ke pejabatnya tetapi mendapati ia telah dikosongkan.

Kemaskini 9.30am Semua anggota exco negeri Pakatan Rakyat berkumpul di kediaman rasmi menteri besar.

0

Komen Mursidul Am PAS

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan perbuatan berpaling tadah di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat sehingga tumbangnya kerajaan negeri adalah pengkhianatan kepada penyokong mereka yang bersusah payah berkempen ketika pilihan raya umum lalu.

Justeru, beliau masih berharap pilihan raya negeri diadakan di Perak, bagi membolehkan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional kembali kepada rakyat mendapatkan mandat baru untuk membentuk kerajaan.

"Saya rasa cukup dukacita apabila timbul cerita wakil rakyat hilang selama dua tiga hari dan kemudian nak melompat. Saya tak faham macam mana keadaan ini boleh berlaku di Malaysia. Manusia macam ni patut dilemparkan dengan kasut.

"Selepas dapat undi dalam pilihan raya, tiba-tiba mereka jual (berpaling tadah). Perbuatan ini pastinya ada perancang yang memujuk mereka sebagai cara mudah mencari majoriti (membentuk kerajaan).

"Kalau begini, lebih baik tak payah diadakan pilihan raya, sebaliknya cukup diagihkan duit saja," katanya kepada pemberita di rumahnya di Pulau Melaka, di sini, petang tadi.

Beliau menyifatkan, hanya pemimpin yang rasuah saja sanggup berpaling tadah sehingga menyebabkan masalah pergolakan politik di negara ini tiada kesudahan.

*****************************************************************
Lompat parti tidak salah - Nik Aziz

KOTA BHARU 16 Sept. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat, tidak menjadi kesalahan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan dengan memujuk Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lompat parti.

Katanya, apa yang dilakukan Anwar adalah selaras dengan kehendak demokrasi, mengikut peruntukan undang-undang dan sejajar dengan tuntutan masa dan keadaan.

"Kalau Anwar tidak buat macam itu, nak buat macam mana lagi, sementara menunggu pilihan raya, buat macam ini dulu.

0

Kronologi Politik Di Perak Selepas PRU12 (Siri 2)


5 Febuari (Situasi Terkini di Perak dari masa ke semasa)


Siapa lebih majoriti?

Kemaskini 8.20 mlm -Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir diumumkan Menteri Besar Perak yang baru dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, 3.30 petang esok.

Barisan Exco kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pula akan mengangkat sumpah di istana yang sama pada 10 Februari ini.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pangkalan TUDM di sini malam ini sekembalinya dari menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.


Kemaskini 7.00 mlm - Sumber pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang sedang berkubu di kediaman rasmi menteri besar menyatakan, mereka tetap mengadakan perhimpunan besar di lokasi tersebut seperti dirancang walaupun diberikan amaran oleh polis.

Kemaskini 6.40 ptg - Majlis angkat sumpah kerajaan baru BN Perak dijadual diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, petang esok, menurut sumber Umno di sini.

Kemaskini 6.30 ptg- Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan Istana Kinta jam 6.15 petang.

Kemaskini 6.15 ptg - Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mengutuskan surat rasmi kepada istana Perak, menjelaskan sebab beliau tidak melepaskan jawatan sebagai menteri besar Perak.

Beliau juga menjelaskan barisan pemimpin Pakatan Rakyat "sebulat suara" meminta beliau tidak meletakkan jawatan sehingga krisis sekarang "diputuskan oleh mahkamah atau Dewan Undangan Negeri."

Berikut adalah kandungan penuh surat Mohammad Nizar kepada baginda Sultan:

5 Februari 2009

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah Paduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum

Ampuan Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Suhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampuan Tuanku,


MERAFA' SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa' sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Mah Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. YB Yang Dipertua Dewan Undangan

Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adun berkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Ampuan Tuanku,


Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demnokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampuan Tuanku,


Patik dengan ini merafa' sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampuan Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabab Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

Ampun Tuanku,


Patik dengan segala hormat takzimnya; bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat

YAB Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

Sumber : http://www.malaysiakini.com/news/97687

Kemaskini 5.52 ptg - Perdana Menteri mengetuai rombongan Adun BN bersama 3 Adun Bebas memasuki perkarangan Istana Kinta kira-kira jam 5.50 ptg.

Kemaskini 5.30 ptg - Nizar Mohon Sekali lagi Mengadap Sultan Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memohon untuk menghadap Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Bercakap dalam sidang akhbar di kediamannya selepas lebih sejam mengadakan mesyuarat tergempar Pakatan Rakyat, Mohammad Nizar berkata, beliau masih Menteri Besar yang sah walaupun Sultan Azlan Shah menitahkannya meletakkan jawatan.
"Saya dan Anwar akan meminta menghadap Tuanku Sultan lagi untuk bubar DUN atau mengadakan sidang khas untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap kerajaan baru," katanya.
Kemaskini 5.27 ptg: Perdana menteri dijangka tiba di Istana Kinta, Ipoh tidak lama lagi, dipercayai untuk majlis angkat sumpah menteri besar baru.

Timbalan perdana menteri, yang juga ketua perhubungan Umno negeri, dan barisan wakil rakyat BN dilaporkan sudah berada di istana berkenaan.

Kemaskini 5.00 ptg - Polis telah mengepung bangunan pentadbiran kerajaan Perak, dan mengarahkan semua exco Pakatan Rakyat serta para pembantu mereka meninggalkan bangunan tersebut.

Kemaskini 4.45ptg - Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

KENYATAAN MEDIA PEJABAT D.Y.M.M. PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
“Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri semua 31 ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK itu dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.” — Bernama


Kemaskini 4.35ptg - Perjumpaan tergempar pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat diketuai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berlangsung sejak jam 3 petang tadi.

Mesyuarat itu diadakan di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bagi membincangkan perkembangan terkini politik negeri itu.

Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat lain termasuk DAP dan Pas dijadual mengadakan sidang akhbar pada bila-bila masa dari sekarang.

Kemaskini 4.05ptg - Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan semua anggota exconya supaya mengosongkan pejabat masing-masing dengan segera.Mereka juga diarahkan supaya memulangkan semua aset kerajaan negeri, termasuk kunci pejabat dan menyerahkan kenderaan rasmi dengan segera.

Mereka juga dilarang memindahkan sebarang dokumen dari bilik masing-masing.

Kemaskini
3.20ptg -
Pemimpin-pemimpin atasan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat berada di dalam kediaman rasmi menteri besar Perak.

Datuk Seri Nizar Jamaluddin - yang diarahkan meletakkan jawatan serta-merta bersama barisan exconya - dijangka mengadakan sidang media tidak lama lagi.

Difahamkan beliau akan mengumumkan enggan melepaskan jawatannya itu.

Kemaskini
3.00 ptg - Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat kebangsaan memasuki kediaman rasmi Menteri Besar, jam 3 petang tadi untuk bermesyuarat mengenai kemelut pentadbiran negeri itu.

Kelihatan memasuki kediaman berkenaan ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kemaskini 2.40 ptg - Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah menitahkan Datuk Seri MohaMmad Nizar Jamaluddin supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuatkuasa serta merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap dikosongkan.

Kemaskini 2.30 ptg - Sultan Perak tidak perkenankan pembubaran Dun Perak

Kemaskini 1:40 ptg - Difahamkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatannya selepas menghadap Sultan Perak kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Kemaskini 1.33 ptg - MB Selesai Mengadap Sultan Perak
“Alhamdulillah. Ia petanda baik,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin sebaik keluar dari Istana Kinta di sini selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Mohammad Nizar yang tiba di Istana Kinta pada 12.45 tengah hari kelihatan tersenyum selepas menghadap selama 20 minit.

Kemaskini 12.00 t/hari - Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tengah hari ini dipanggil ke Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, dipercayai berkaitan penyerahan kuasa kepada BN untuk pembentukan kerajaan baru.
IPOH: Datuk Seri Najib Razak berkata, kini terserah kepada Sultan Perak yang mempunyai hak mutlak untuk memutuskan sama ada menerima Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan baru Perak atau bubarkan DUN negeri.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbarnya jam 11.50 pagi tadi selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebanyak dua kali, pagi ini.

Beliau berkata, dalam pertemuannya dengan Sultan Azlan, beliau menerangkan BN kini mempunyai sokongan kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan baru Perak.
Kemaskini 11.45 pg - Datuk Seri Najib Tun Razak kembali semula ke bangunan UMNO di sini dari Istana Kinta dengan disambut tepukan gemuruh pukul 11 pagi tadi. Timbalan Perdana Menteri kini mengadakan sidang akhbar dipercayai bagi memaklumkan hasil pertemuan dengan Sultan Perak berhubung pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak.

Kemaskini 11:16 pg - Hanya lima minit bermesyuarat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ke Istana Kinta pagi ini. Kali ini, Timbalan Perdana Menteri membawa bersama empat ADUN yang melompat parti semalam.

Kemaskini 10.40 pg - TPM juga selaku Pengerusi BN Perak bersama Timb Pengerusi BN Perak Dato Ahmad Zahid Hamidi keluar dari Istana Kinta. Terus ke bangunan UMNO Perak untuk mempengerusikan mesyuarat BN negeri.

Kemaskini 9.50 pg - TPM juga selaku Pengerusi BN Perak bersama Timb Pengerusi BN Perak Dato Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Kinta.

KENYATAAN AKHBAR TPM

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera,

Saya ingin memaklumkan bahawa Barisan Nasional (BN) Perak kini mempunyai majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menubuhkan kerajaan.

Ini adalah kerana semalam, tiga wakil rakyat iaitu ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan ADUN Jelapang dari DAP, Hee Yit Foong telah memaklumkan kepada saya bahawa mereka telah menghantar surat kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak untuk memaklumkan mereka telah keluar parti masing-masing.

Hari ini juga, ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim telah berjumpa dan memaklumkan kepada saya bahawa beliau telah kembali bersama UMNO.

Mereka semua telah memberi mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Perak untuk mencalonkan nama Menteri Besar. Mereka juga memberi aku janji akan bersama dan memberi sokongan kepada YAB Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

Pada hari ini juga, keempat-empat wakil rakyat telah memaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri, Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan.

Justeru Fasal XV1 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan jika Menteri Besar hilang keyakinan atau majoriti, beliau hendaklah meletakkan jawatan bersama dengan anggota exconya.

Sejajar dengan perkembangan ini, saya akan menghadap Ke Bawah Duli Paduka Seri Sultan Perak untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak.

– DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK


0

Bakal MB Baru Perak?


Bakal MB Baru Perak?


ADUN PANGKOR
YB DATO’ DR ZAMBRY BIN ABDUL KADIR



ADUN MANONG
YB DATO’ HAJI RAMLY BIN ZAHARI



ADUN KOTA TAMPAN
YB DATO’ HAJI SHAARANI BIN MOHAMAD

0

Kronologi Politik Di Perak Selepas PRU12

9 Mac 2008: Gabungan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 28 kerusi pada pilihan raya umum ke-12.

17 Mac 2008: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang dari Pas, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.

19 Mac 2008: Istiadat angkat sumpah 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

25 Ogos 2008: Dua anggota Exco Kerajaan Negeri Perak, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Jailu dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas tudahan rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta.

Mahkamah tetap 10, 11 dan 12 Feb 2009 sebagai tarikh perbicaraan.

25 Jan 2009: Adun Bota dari Umno, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PKR.

26 Jan 2009: Menteri Besar Perak mendakwa sekurang-kurangnya tiga lagi wakil rakyat daripada Umno akan mengikut jejak Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PKR.

28 Jan 2009: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim mencadangkan satu gerakan massa perlu dijalankan bagi mendesak Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

29 Jan 2009: MT Umno menerima peletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak berkuat kuasa serta-merta.

30 Jan 2009: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan mengenai anggota Exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, daripada Parti Keadilan Rakyat, akan menyertai BN.

1 Feb 2009: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan terdapat Adun daripada pembangkang di negeri Perak akan menyertai BN.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua Adun dari PKR yang “hilang” sejak 26 Jan supaya mengisytiharkan segera pendirian mereka jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Speaker DUN Perak, V Sivakumar berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan Adun Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu yang dihantar ke rumahnya pada jam 5.45 petang.

Kedua-dua ADUN PKR menafikan meletakkan jawatan, sebaliknya mengakui pernah menandatangi surat janji taat setia bersama enam lagi Adun PKR yang tidak bertarikh bahawa jika mereka keluar parti, mereka secara automatik perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

2 Feb 2009: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadap Sultan Perak di Istana Kinta. Beliau tidak mengulas kepada media berhubung istiadat mengadap itu.

Speaker DUN Perak, V Sivakumar memaklumkan kekosongan kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak.

Pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman berkata, kedua-dua wakil rakyat itu tidak membuat pengumuman keluar daripada PKR.

Seorang pegawai kepada Jamaluddin Mohd Radzi memberitahu media di Sepang bahawa wakil rakyat itu masih ahli PKR.

Seorang kenalan Adun Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu menafikan peletakan jawatan Adun itu pada sidang akhbar di Shah Alam.

3 Feb 2009: SPR memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi DUN Changkat Jering (N14) dan DUN Behrang (N59) serta tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan itu.

Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi menganggap dirinya sebagai wakil rakyat Bebas selepas PKR menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Adun kepada Speaker DUN Perak V Sivakumar.

Ketua DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham memberi tempoh 48 jam kepada SPR supaya mengkaji semula keputusan tidak mengadakan pilihan raya kecil.

4 Feb 2009:
1 tengah hari - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijadualkan mengadakan sidang akhbar untuk membuat pengumuman penting.

1.30 tengah hari - Mohammad Nizar menangguhkan sidang akhbar tanpa memberi sebab.

2 petang - Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR tidak akan mengkaji semula keputusannya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil.

3 petang - Mohamad Nizar membuat tindakan luar biasa dengan mengumumkan pembubaran DUN serta merta sebelum memohon perkenan Sultan.

3.50 petang - Mohammad Nizar dilihat memasuki Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

4.35 petang - Empat Adun Perak iaitu Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu, Adun Bota Datuk Nasarudin Hashim dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong berada di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

5 petang - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan BN Perak kini mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan apabila tiga ADUN dari PKR dan seorang ADUN dari DAP mengumumkan keluar parti.

BN kini mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi.

5.55 petang - Mohammad Nizar yang mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk meminta perkenan baginda membubarkan DUN meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.

0

Klimaks Politik Perak


DATUK Seri Najib Razak mengumumkan Adun PKR Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi (kanan), Adun Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu (dua kanan) dan Adun DAP Jelapang, Hee Yit Foong yang memaklumkan kepada Sultan Perak mereka telah keluar parti manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim (dua kiri) kembali kepada Umno. Pengumuman dibuat di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya petang tadi. - Foto Effendy Rashid [sumber www.utusan.com.my]

0

BN Bentuk Kerajaan Baru Perak

BN Bentuk Kerajaan Baru Perak

5:35pm Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin kelihatan meninggalkan Istana Kinta di Ipoh selepas menghadap Sultan Perak.

Beliau menyatakan ringkas "terserah kepada tuanku" kepada pemberita di luar pintu masuk istana.

5:15pm Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak jadi dibubarkan hari ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selepas menghadap Sultan di Istana Kinta sebentar tadi.

Tambahnya, mereka akan terus mentadbir negeri itu, termasuk akan mengadakan mesyuarat exco negeri, Jumaat ini.

5:06pm BN mempunyai cukup jumlah Adun untuk membentuk kerajaan baru Perak selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) melompat kepadanya secara terbuka dan rasmi hari ini.

Tiga bekas wakil rakyat Pakatan termasuk Adun Jelapang dan juga bekas Timbalan Speaker DUN Perak, Hee Yit Foong akan kekal wakil rakyat bebas tetapi bersama kerajaan BN, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin.

Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno.


4:25pm Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu akan menyertai Umno.

Kedua-duanya kini berada di pejabat timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak memanggil semua Adun dan ahli parlimen BN sebelum mengadakan sidang akhbar khasnya jam 4 petang ini.

Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - juga kelihatan di pejabat timbalan presiden Umno itu.

Adun Jelapang dan juga bekas Timbalan Speaker DUN Perak, Hee Yit Foong kelihatan di Putrajaya.


3.52pm Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dijangka akan dibubarkan dalam masa terdekat jika Sultan memberikan perkenan kepada kerajaan Pakatan Rakyat itu untuk memanggil pilihanraya negeri secara mengejut.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin kelihatan masuk Istana Kinta di Ipoh jam 3.50 petang untuk menghadap Sultan Perak.

0

Kemelut Politik Perak

DUN Perak : PR=28, BN=28 dan Bebas=3

Empat ADUN Perak sertai sidang akhbar bersama Najib

Terkini 5.15 petang PUTRAJAYA 4 Feb. – Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi, Mohd. Osman Jailu, Hee Yit Fong dan Nasharuddin Hashim akan menyertai sidang akhbar khas bersama Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan diadakan sebentar lagi di pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini petang ini. - Utusan

Bubar DUN: MB menghadap Sultan


Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dijangka akan dibubarkan dalam masa terdekat jika Sultan memberikan perkenan kepada kerajaan Pakatan Rakyat itu untuk memanggil pilihanraya negeri secara mengejut.

Difahamkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin berusaha menghadap Sultan Azlan Shah untuk memaklumkan keputusan itu selepas tiga wakil rakyat kerajaan negeri itu berpaling tadah.

Sementara beberapa lagi Adun kerajaan campuran itu - termasuk Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasharuddin Hashim yang menyertai PKR bulan lepas - didesas-desuskan meninggalkannya.

Mohd Nizar kelihatan masuk Istana Kinta di Ipoh jam 3.50 petang untuk menghadap Sultan Perak.

Beberapa pemimpin kanan PAS dan wakil-wakil rakyat Pakatan yang dihubungi Malaysiakini menjelang tengah hari tadi enggan memberi sebarang ulasan buat masa sekarang.

Difahamkan tiga Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Pakatan Rakyat, termasuk Timbalan Speaker Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) telah menulis surat, memaklumkan meninggalkan gabungan tersebut pagi ini.

Dua Adun PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) keluar parti beberapa hari ini lalu - menimbulkan krisis mendebarkan di negeri itu.

Dengan tindakan tiga Adun itu, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kini tinggal 29 daripada 59 kerusi di DUN.

Tiga bekas Adun kerajaan campuran itu kini menjadi wakil rakyat bebas dan dipercayai akan menyokong BN, membolehkan parti itu merampas tampuk kerajaan dengan majoriti tipis satu kerusi.

Di Putrajaya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan sidang akhbar khas pada jam 4 petang ini, dipercayai ada kaitan dengan pergolakan politik di Perak.

Manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak dijangka mengadakan satu sidang akhbar jam 4 petang ini. - Sumber http://www.malaysiakini.com/news/97551