Thursday, February 5, 2009

Kronologi Politik Di Perak Selepas PRU12 (Siri 2)


5 Febuari (Situasi Terkini di Perak dari masa ke semasa)


Siapa lebih majoriti?

Kemaskini 8.20 mlm -Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir diumumkan Menteri Besar Perak yang baru dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, 3.30 petang esok.

Barisan Exco kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pula akan mengangkat sumpah di istana yang sama pada 10 Februari ini.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pangkalan TUDM di sini malam ini sekembalinya dari menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.


Kemaskini 7.00 mlm - Sumber pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang sedang berkubu di kediaman rasmi menteri besar menyatakan, mereka tetap mengadakan perhimpunan besar di lokasi tersebut seperti dirancang walaupun diberikan amaran oleh polis.

Kemaskini 6.40 ptg - Majlis angkat sumpah kerajaan baru BN Perak dijadual diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, petang esok, menurut sumber Umno di sini.

Kemaskini 6.30 ptg- Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan Istana Kinta jam 6.15 petang.

Kemaskini 6.15 ptg - Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mengutuskan surat rasmi kepada istana Perak, menjelaskan sebab beliau tidak melepaskan jawatan sebagai menteri besar Perak.

Beliau juga menjelaskan barisan pemimpin Pakatan Rakyat "sebulat suara" meminta beliau tidak meletakkan jawatan sehingga krisis sekarang "diputuskan oleh mahkamah atau Dewan Undangan Negeri."

Berikut adalah kandungan penuh surat Mohammad Nizar kepada baginda Sultan:

5 Februari 2009

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah Paduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum

Ampuan Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Suhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampuan Tuanku,


MERAFA' SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa' sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Mah Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. YB Yang Dipertua Dewan Undangan

Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adun berkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Ampuan Tuanku,


Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demnokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampuan Tuanku,


Patik dengan ini merafa' sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampuan Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabab Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

Ampun Tuanku,


Patik dengan segala hormat takzimnya; bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat

YAB Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

Sumber : http://www.malaysiakini.com/news/97687

Kemaskini 5.52 ptg - Perdana Menteri mengetuai rombongan Adun BN bersama 3 Adun Bebas memasuki perkarangan Istana Kinta kira-kira jam 5.50 ptg.

Kemaskini 5.30 ptg - Nizar Mohon Sekali lagi Mengadap Sultan Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memohon untuk menghadap Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Bercakap dalam sidang akhbar di kediamannya selepas lebih sejam mengadakan mesyuarat tergempar Pakatan Rakyat, Mohammad Nizar berkata, beliau masih Menteri Besar yang sah walaupun Sultan Azlan Shah menitahkannya meletakkan jawatan.
"Saya dan Anwar akan meminta menghadap Tuanku Sultan lagi untuk bubar DUN atau mengadakan sidang khas untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap kerajaan baru," katanya.
Kemaskini 5.27 ptg: Perdana menteri dijangka tiba di Istana Kinta, Ipoh tidak lama lagi, dipercayai untuk majlis angkat sumpah menteri besar baru.

Timbalan perdana menteri, yang juga ketua perhubungan Umno negeri, dan barisan wakil rakyat BN dilaporkan sudah berada di istana berkenaan.

Kemaskini 5.00 ptg - Polis telah mengepung bangunan pentadbiran kerajaan Perak, dan mengarahkan semua exco Pakatan Rakyat serta para pembantu mereka meninggalkan bangunan tersebut.

Kemaskini 4.45ptg - Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

KENYATAAN MEDIA PEJABAT D.Y.M.M. PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
“Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri semua 31 ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK itu dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.” — Bernama


Kemaskini 4.35ptg - Perjumpaan tergempar pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat diketuai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berlangsung sejak jam 3 petang tadi.

Mesyuarat itu diadakan di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bagi membincangkan perkembangan terkini politik negeri itu.

Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat lain termasuk DAP dan Pas dijadual mengadakan sidang akhbar pada bila-bila masa dari sekarang.

Kemaskini 4.05ptg - Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan semua anggota exconya supaya mengosongkan pejabat masing-masing dengan segera.Mereka juga diarahkan supaya memulangkan semua aset kerajaan negeri, termasuk kunci pejabat dan menyerahkan kenderaan rasmi dengan segera.

Mereka juga dilarang memindahkan sebarang dokumen dari bilik masing-masing.

Kemaskini
3.20ptg -
Pemimpin-pemimpin atasan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat berada di dalam kediaman rasmi menteri besar Perak.

Datuk Seri Nizar Jamaluddin - yang diarahkan meletakkan jawatan serta-merta bersama barisan exconya - dijangka mengadakan sidang media tidak lama lagi.

Difahamkan beliau akan mengumumkan enggan melepaskan jawatannya itu.

Kemaskini
3.00 ptg - Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat kebangsaan memasuki kediaman rasmi Menteri Besar, jam 3 petang tadi untuk bermesyuarat mengenai kemelut pentadbiran negeri itu.

Kelihatan memasuki kediaman berkenaan ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kemaskini 2.40 ptg - Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah menitahkan Datuk Seri MohaMmad Nizar Jamaluddin supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuatkuasa serta merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap dikosongkan.

Kemaskini 2.30 ptg - Sultan Perak tidak perkenankan pembubaran Dun Perak

Kemaskini 1:40 ptg - Difahamkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatannya selepas menghadap Sultan Perak kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Kemaskini 1.33 ptg - MB Selesai Mengadap Sultan Perak
“Alhamdulillah. Ia petanda baik,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin sebaik keluar dari Istana Kinta di sini selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Mohammad Nizar yang tiba di Istana Kinta pada 12.45 tengah hari kelihatan tersenyum selepas menghadap selama 20 minit.

Kemaskini 12.00 t/hari - Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tengah hari ini dipanggil ke Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, dipercayai berkaitan penyerahan kuasa kepada BN untuk pembentukan kerajaan baru.
IPOH: Datuk Seri Najib Razak berkata, kini terserah kepada Sultan Perak yang mempunyai hak mutlak untuk memutuskan sama ada menerima Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan baru Perak atau bubarkan DUN negeri.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbarnya jam 11.50 pagi tadi selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebanyak dua kali, pagi ini.

Beliau berkata, dalam pertemuannya dengan Sultan Azlan, beliau menerangkan BN kini mempunyai sokongan kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan baru Perak.
Kemaskini 11.45 pg - Datuk Seri Najib Tun Razak kembali semula ke bangunan UMNO di sini dari Istana Kinta dengan disambut tepukan gemuruh pukul 11 pagi tadi. Timbalan Perdana Menteri kini mengadakan sidang akhbar dipercayai bagi memaklumkan hasil pertemuan dengan Sultan Perak berhubung pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak.

Kemaskini 11:16 pg - Hanya lima minit bermesyuarat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ke Istana Kinta pagi ini. Kali ini, Timbalan Perdana Menteri membawa bersama empat ADUN yang melompat parti semalam.

Kemaskini 10.40 pg - TPM juga selaku Pengerusi BN Perak bersama Timb Pengerusi BN Perak Dato Ahmad Zahid Hamidi keluar dari Istana Kinta. Terus ke bangunan UMNO Perak untuk mempengerusikan mesyuarat BN negeri.

Kemaskini 9.50 pg - TPM juga selaku Pengerusi BN Perak bersama Timb Pengerusi BN Perak Dato Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Kinta.

KENYATAAN AKHBAR TPM

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera,

Saya ingin memaklumkan bahawa Barisan Nasional (BN) Perak kini mempunyai majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menubuhkan kerajaan.

Ini adalah kerana semalam, tiga wakil rakyat iaitu ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan ADUN Jelapang dari DAP, Hee Yit Foong telah memaklumkan kepada saya bahawa mereka telah menghantar surat kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak untuk memaklumkan mereka telah keluar parti masing-masing.

Hari ini juga, ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim telah berjumpa dan memaklumkan kepada saya bahawa beliau telah kembali bersama UMNO.

Mereka semua telah memberi mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Perak untuk mencalonkan nama Menteri Besar. Mereka juga memberi aku janji akan bersama dan memberi sokongan kepada YAB Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

Pada hari ini juga, keempat-empat wakil rakyat telah memaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri, Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan.

Justeru Fasal XV1 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan jika Menteri Besar hilang keyakinan atau majoriti, beliau hendaklah meletakkan jawatan bersama dengan anggota exconya.

Sejajar dengan perkembangan ini, saya akan menghadap Ke Bawah Duli Paduka Seri Sultan Perak untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak.

– DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK


0 comments:

Post a Comment